• Twitter
  • Instagram

Monday, August 31, 2009

Berita dalam talian lebih bebas daripada akhbar tradisional

BERITA DALAM TALIAN LEBIH BEBAS DARIPADA AKHBAR NASIONAL.
 
Kemunculan berita-berita dalam talian atau 'blog' kebelakangan ini telah menjadi satu fenomena baru di kalangan rakyat Malaysia terutama bagi mereka yang sememangnya terdedah kepada kemudahan dan teknologi internet. Kegilaan masyarakat sekarang terhadap penulisan-penulisan di dalam blog ini telah menyumbang kepada penciptaan satu budaya baru di kalangan pengguna internet di Malaysia. Daripada jurnal mengenai kehidupan diri, sehingga kepada pendedahan-pendedahan berani  mengenai isu-isu politik dan salah laku pemimpin, berita dalam talian dilihat menjadi pilihan masyarakat sekarang berbanding akhbar-akhbar utama tempatan.  Faktor ini disebabkan oleh kebanyakan blog-blog di internet ini lebih bersifat terbuka di dalam penyampaian atau kupasan sesuatu berita atau isu berbanding akhbar-akhbar tempatan.
              Jika dilihat kepada akhbar-akhbar utama tempatan, berita yang ditulis lebih tertumpu didalam menyampaikan agenda-agenda Kerajaan dan tidak bersifat neutral kepada pembaca. Ini adalah disebabkan oleh pegangan dan pemilikan syarikat-syarikat akhbar itu sendiri yang kebanyakannya dimiliki oleh mereka yang terlibat secara lansung dengan Kerajaan dan ada juga yang dimiliki oleh parti-parti komponen di dalam Barisan Nasional yang menerajui kepimpinan Kerajaan Malaysia. Ini tidak terhad kepada pemilikan syarikat-syarikat akhbar utama negara, tetapi syarikat-syarikat televisyen dan radio juga dikuasai oleh Kerajaan dan penyampaian berita dan isu-isu adalah sama seperti akhbar yang lebih terdorong di dalam menyampaikan agenda dan misi Kerajaan.
              Melihat kepada senario yang berlaku ini, mendorong kepada penerbitan berita-berita internet atau ‘blog’. Penulis-penulis blog ini, tidak terhad kepada sesuatu golongan atau peringkat umur. Daripada mantan Perdana Menteri, Menteri hingga pelajar-pelajar sekolah, kebanyakan daripada mereka mempunyai ‘blog-blog’ mereka sendiri. Cuma, yang membezakan hanyalah genre penulisan. Berita-berita politik, salah laku pemimpin, sehinggalah kepada skandal seks dan rasuah pemimpin, menghiasi blog-blog ini. Kebebasan menulis di dalam blog, digunakan sebagai medium untuk memberikan pendapat, kritikan, pujian mahupun penceritaan mengenai sesuatu perkara, perdebatan mahupun perbincangan secara dalam talian.
         
          Jika diambil contoh mengenai isu politik, kebanyakan penulis-penulis blog adalah terdiri daripada mereka yang berhaluan kiri yakni yang menentang dasar-dasar Kerajaan. Tidak kurang juga yang menyokong, tetapi menurut perangkaan yang diperolehi dengan melayari ‘blog-blog’ mereka yang menentang ini, jumlah pembaca mengikut purata adalah melebihi 3 juta pembaca dan ada ‘blog’ yang mencecah sehingga 5 juta pembaca seperti blog ‘www.tukartiub.blogspot.com’ dan ‘Penarik-Beca’. Manakala jika dilihat kepada pembaca yang melayari MalaysiaKini ataupun MalaysiaToday, jumlah pembaca adalah melebihi mereka yang membeli akhbar-akhbar tradisional seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian. Ini juga disebabkan penyediaan tiga bahasa utama oleh laman-laman berita seperti MalaysiaKini yang merangkumi Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.
          Faktor utama yang mendorong kepopularitian blog-blog ini, bukanlah disebabkan oleh kepopularitian penulis dan kebolehan melayari di dalam pelbagai bahasa semata-mata, tetapi berdasarkan kupasan dan isi penulisan yang bebas dan tidak memihak kepada Kerajaan semata-mata. Penulis bebas untuk menjelaskan atau menceritakan isu-isu yang terkini tanpa sebarang sekatan atau terikat dengan protokol atau agenda yang ditetapkan. Ketidakpuasan hati diluahkan didalam penulisan dan dibincangkan bersama. Isu rakyat menjadi perhatian, penindasan, rasuah, skandal seks dan kepincangan didalam kepimpinan menjadi antara tajuk-tajuk berita yang sering dipaparkan didalam blog-blog ini.
            Disamping bebas dalam memaparkan isu-isu sensitif, teknik penulisan blog yang lebih bebas dan ringan, yakni tidak terikat dengan garis panduan atau protokol bahasa seperti penulisan akhbar, menjadi salah satu faktor penarik yang mendorong kepada kepopularitian blog-blog ini. Gaya penulisan yang bersahaja, memudahkan pembaca memahami isi berita yang ingin disampaikan dengan tepat dan berkesan. Teknik penulisan seperti ini amat berbeza dengan teknik penulisan di akhbar yang lebih berhati-hati dalam tatabahasa dan penggubahan ayat. Justeru, gaya penulisan bersahaja di dalam blog mendorong mempercepatkan kefahaman pembaca dalam memahami atau menaakul sesuatu mesej yang hendak disampaikan.
         
           Jika dilihat penulisan-penulisan seperti didalam www.tukartiub.blogspot.com karya Hishamuddin Rais, nyata sekali kesempatan menulis digunakan dengan sebaik-baiknya dalam menyatakan ketidakpuasan hati terhadap dasar-dasar Kerajaan, membongkar skandal dan kes salah laku pemimpin dan turut dilihat cuba untuk menyemai sikap-sikap yang menentang dasar-dasar Kerajaan. Ini adalah contoh gaya penulisan daripada mereka yang terang-terangan menentang Kerajaan dan gaya bahasa yang digunakan adakalanya sedikit kasar dan berbaur lucah. Namun, inilah gaya dan teknik penulisan yang digemari kebanyakan pembaca kerana ianya tidak terlalu berat, mudah difahami dan menarik tambahan pula, penulisan berita dalam talian mencerminkan demokrasi yang diaplikasi didalam bentuk kebebasan meluahkan perasaan dan juga kebebasan bersuara.
            Teknik penulisan ini, cuba untuk menyampaikan mesej tanpa menggunakan bahasa kiasan atau penjelasan yang panjang lebar, cukup sekadar menyampaikan mesej kepada pembaca dengan penyampaian bahasa pasar, sesuai dengan penerimaan dan status golongan pembaca yang kebanyakannya terdiri daripada remaja hingga dewasa lingkungan awal 40 an. Namun, adakalanya, penggunaan bahasa yang terlalu keras boleh mendorong kepada ketidakpuasan hati sesetengah pihak yang kurang senang dengan penyampaian seperti itu.
               Senario yang sama turut berlaku di blog-blog lain seperti di www.penarik-beca.blogspot.com yang mana gaya bahasanya begitu lantang menghentam dasar-dasar Kerajaan dan blog-blog seperti ini lebih memihak kepada pihak pembangkang daripada bersifat neutral. Namun, jika dilihat kepada blog ‘Aspan Alias’, tulisan-tulisannya lebih bersifat neutral dan tidak bertindak menghentam dengan keras mana-mana pihak sama ada pihak pembangkang mahupun pihak Kerajaan. Tulisan-tulisannya adalah bebas dengan membincangkan hala tuju politik bangsa Melayu tanpa bersifat menyebelahi sebelah pihak sahaja walaupun pada dasarnya, penulisannya banyak mengkritik dasar-dasar Kerajaan. Penulisan yang bebas seperti ini, sememangnya merupakan sesuatu medium yang berkesan dalam menyatakan ketidakpuasan hati rakyat terhadap sesuatu dasar yang dilaksanakan juga sebagai satu proses demokrasi melalui kebebasan bersuara dan kebebasan untuk menyertai debat politik.
               Berita dalam talian ini, jika diukur dari segi kebebasan penulisan, sememangnya telah lama mengatasi berita-berita di dalam akhbar tradisional yang kebanyakannya hanya mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Walaupun terdapat akhbar-akhbar tradisional berhaluan kiri seperti Harakah dan Suara Keadilan, namun tidak dapat menandingi berita-berita yang ditulis menerusi blog. Dengan kemudahan dan kecanggihan teknologi masa kini, berita dalam talian begitu mendapat perhatian yang meluas dan semakin menjadi ‘trend’ di kalangan masyarakat Malaysia. Tambahan pula, sehingga sekarang, belum ada lagi akta-akta yang menyekat penulisan berita dalam talian ini, cuma, sesetengah akta seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang memantau bahan-bahan penulisan agar tidak melanggar dan mengganggu-gugat kestabilan politik, ekonomi dan keamanan negara melalui berita-berita yang disiarkan.
             Terdapat kes seperti penangkapan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra yang ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 berikutan penulisan-penulisannya yang dikatakan dapat mengganggu-gugat kestabilan politik dan keamanan negara. Walau bagaimanapun, masih ramai penulis-penulis blog ataupun berita dalam talian yang masih mengutarakan isu-isu sensitif ini. Berikutan penahanan itu, isu demokrasi menjadi persoalan mereka yang terbabit didalam penulisan berita dalam talian ini mengenai kebebasan bersuara dan menyatakan pandangan.
MUHAMAD HAIRI BIN HASHIM
2009290244
JRN412B

1 comments:

Tukar Tiub said...

ooolalaa...

olalaa as the french says it
you are tres inteletual

ooola la... selamat datang ke tukartiub

cheers

p/s selamat raya

Contact

Get in touch with me


Adress/Street

12 Street West Victoria 1234 Australia

Phone number

+(12) 3456 789

Website

www.johnsmith.com